TAMAN NEGERI KENABOI terletak di dalam Hutan Simpan Kenaboi yang merupakan Hutan Dipterokarp Bukit. Lokasi terletaknya Taman Negeri Kenaboi ini adalah 63 km dari Kuala Klawang melalui jalan raya Kuala Klawang – Seremban atau 100 km dari Bandar Seremban. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Klawang. Taman Negeri Kenaboi merupakan unjuran penghujung Banjaran Titiwangsa yang bersempadan dengan Negeri Pahang dan Negeri Selangor. Kaya dengan pelbagai tumbuhan seperti orkid-orkid liar, tumbuhan herba, paku-pakis dan palma.

Kawasan ini mula diterokai pada tahun 1990 oleh penggiat aktiviti lasak 4 x 4 yang melalui Lembah Jemaloi satu ketika dahulu. Kawasan ini pernah dikenali sebagai Rimba Savana Camp Rudi. Keunikan yang terdapat disini adalah air terjun yang melimpah dari Sungai Kering iaitu anak Sungai Kenaboi yang sering dikaitkan dengan mitos kijang yang cedera dan jatuh di air terjun ini. Terdapat beberapa perkampungan orang asli iaitu Kampung Tohor, Kampung London dan Kampung Nap yang terletak di sekitar Taman Negeri Kenaboi ini.

Antara kemudahan yang ada ialah tandas awam, dewan serbaguna, tapak perkhemahan, pondok rehat, pejabat, tempat letak kenderaan, dewan kuliah, chalet, dorm, kantin dan bilik mesyuarat. Pelbagai aktiviti turut dijalankan di sini seperti treking ke Jeram Berungut, Air Terjun Lata Kijang serta Lembah Jemaloi; meneroka Gua Harimau serta Gua Batu Bulan; mendaki Gunung Besar Hantu, Bukit Enjin serta Gunung Kecil Hantu dan berkunjung ke Perkampungan Orang Asli. Terdapat spesis-spesis menarik yang ada di Taman Negeri Kenaboi seperti Haniffa Cyanescens, Bilbophyllum Linearifolium, Corybasholttumii, Dendrobium Rupicolum, Enggang Badak, Buceros Rhinoceros, Takau Hitam Kuning, Sambar Batu dan lain-lain lagi.

 

 

#menarikdijelebu

Kredit : https://www.facebook.com/menarikdijelebu/